JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon beritahu partinya sedia mengenepikan perbalahan lampau dengan mana-mana parti komponen dalam kerajaan perpaduan termasuklah DAP.
Beliau yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Pemuda MCA Pusat pada 21 Oktober ini berkata, pihaknya sedia bekerjasama demi kesejahteraan rakyat negara ini.
“Senario politik semasa telah banyak berubah. Dahulu MCA dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala sekarang kita berada di dalam kerajaan perpaduan dan perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Jadi MCA perlu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan berbincang dengan semua pihak, termasuklah bersama DAP. Jika demi kebaikan rakyat dan negara, apa salahnya,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.
Tambah Tian Soon yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, pihaknya enggan membuat sebarang tuntutan jawatan berhubung khabar angin rombakan kabinet yang dijangka bakal dibuat, baru-baru ini.
“MCA tidak minta sebarang kerusi kerana ini adalah kerajaan perpaduan, ada atau tidak kita tetap akan bekerjasama dalam melaksanakan reformasi terhadap kerajaan.
“Apapun itu adalah hak dan keputusan muktamad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita hormati,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk mengembalikan kegemilangan MCA seperti suatu ketika dahulu dibawah pimpinan kerajaan BN.
“Kita perlu bangkit kembali, parti perlu adakan pelbagai program untuk memastikan MCA terus kekal relevan dalam membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” tambahnya.
Penggerak Daily