Categories
Politik

MCA TIDAK HALANG UMNO MOHON PENGAMPUNAN

JOHOR BAHRU: MCA tidak mempunyai halangan dengan keputusan dibuat rakan komponen Barisan Nasional (BN) mereka, UMNO yang mahu memohon pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, hal itu kerana permohonan pengampunan penuh melibatkan seseorang pesalah adalah hak setiap individu seperti tertakluk dalam Perlembagaan.

Sehubungan itu katanya, partinya tidak mempunyai tentangan berhubung perkara itu kerana ia bukan perkara ganjil atau luar biasa.

“Setiap orang yang dipenjarakan ada hak untuk memohon pengampunan, ini bukanlah satu perkara luar biasa, jadi saya rasa kita perlu hormati hak mana-mana pihak terlibat dalam kes ini.

“Ada juga ahli MCA yang bersetuju dan ada bertentangan. Walau apa sekalipun mereka dah sampaikan pendirian masing-masing dan sebagai sebuah parti demokrasi, kita tidak sekat atau halang sebab ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MCA Johor di Hotel Trove, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon.

Sehubungan itu, Ka Siong yang juga merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam memberitahu, pihaknya menghormati keputusan diambil UMNO berhubung masa depan bekas Perdana Menteri tersebut.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat keputusan untuk memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula memberitahu, langkah itu akan memberi kesan negatif kepada Kerajaan Perpaduan kerana fokusnya kekal kepada perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *