Categories
Politik

MP UMNO LANGGAR PRESIDEN PERLU LETAK JAWATAN

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendesak mana-mana Ahli Parlimen parti itu yang melanggar arahan Presiden UMNO dan memberi sokongan kepada calon Perdana Menteri tidak disokong Barisan Nasional (BN) untuk meletak jawatan.

Menurut beliau, hal itu kerana semua Ahli Parlimen yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menandatangani surat akujanji memberi mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Sehubungan itu, semua pihak diingatkan agar tidak ‘bermain kotor’ dan mendesak Ahmad Zahid untuk berundur.

“Saya anggap Ahli Parlimen BN yang bertentangan dengan presiden mengenai perkara ini secara terbuka sebenarnya mahu dipecat daripada parti dengan sengaja, hal ini supaya mereka dapat menjadi Ahli Parlimen bebas dan memberi sokongan kepada calon perdana menteri yang bukan disokong BN.

“Oleh itu, saya mendesak Ahli Parlimen BN ini supaya meletak jawatan sekiranya mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan politik demi kepentingan dan hala tuju UMNO dan BN,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Tambah Nur Jazlan, kerusi yang dimenangi setiap calon-calon bertanding dalam PRU15 adalah milik parti dan bukannya milik peribadi individu terbabit.

Kelmarin, Ahmad Zahid menegaskan bahawa mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang melanggar arahan parti akan dilepaskan keahlian, termasuk kerusi Parlimen selaras dengan undang-undang anti-lompat parti.

Sebelum itu, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan beliau rela dipecat daripada UMNO dan BN sekiranya kepimpinan mahu terus menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

Semalam, kepimpinan tertinggi BN dan juga PH telah mengadakan pertemuan dipercayai bagi menjalin kerjasama politik dalam menubuh kerajaan pusat baharu antara mereka.

Dalam PRU15 yang diadakan pada 19 November lalu, PH memenangi sejumlah 82 kerusi Parlimen manakala BN pula memenangi 30 kerusi Parlimen.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *