JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan mereka akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi satu hantaran video di laman sosial, hari ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu menyaksikan PRN Johor sebagai langkah pertama parti berkenaan terlibat secara rasmi dalam politik tanah air.
“Muda secara rasminya akan bertanding di dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda, Muda adalah perubahan bagi Johor.
“Jadi marilah kita bangunkan Johor yang bersatu dan sejahtera bersama-sama, Mari bersama Muda,” katanya dalam video yang dikongsikan di Facebook rasmi miliknya.
Muda dilaporkan telah berdaftar sebagai sebuah parti politik secara rasminya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember tahun lalu.
Sebelum ini, media turut melaporkan Ahli Parlimen Muar itu dijangka akan turut bertanding dalam PRN Johor dengan parti itu bersedia meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.
Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dilaporkan berkata Syed Saddiq mungkin bertanding pada PRN Johor selain mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.
Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan memberitahu Pakatan Harapan (PH) Johor bakal bertemu dengan Muda pada hari Ahad ini untuk membincangkan kerjasama politik antara mereka.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.
Penggerak Daily