JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan jentera parti itu untuk mengamalkan politik matang dan bukannya politik dendam ketika berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga merupakan calon bagi kerusi Parlimen Pulai berkata, pihaknya mahu memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan secara terpuji.
“Dalam kempen PRU15 ini, saya menekankan kempen yang membawa perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat dan kempen yang mampu memenangi hati sesiapa saja tak kira perbezaan agama, kaum mahupun ideologi politik.
“Saya mahu tenaga kerja parti dan sukarelawan amalkan budaya politik matang dan menjauhkan diri daripada budaya provokasi, maki hamun, fitnah memfitnah dan melakukan serangan peribadi.
“Saya menolak budaya politik dendam, politik gangster dan politik tak beretika. Kita mahu berkempen dengan budaya berhemah, pendekatan bijak dan akhirnya dapat kemenangan dengan cara terpuji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera BN bagi Parlimen Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini malam semalam.
Sehubungan itu, Nur Jazlan mengajak jentera BN untuk tidak sesekali bertindak secara emosi, sebaliknya bertindak berpandukan rasionalisasi, kesopanan dan penuh tatasusila dalam usaha memenangkan BN.
“Ini kerana saya faham, dalam era dunia tanpa sempadan ini, para pengundi sudah berfikiran matang dan terbuka. Mereka tak mahu lagi politik adu domba, caci maki, membawa budaya samseng dan cara khianat kepada parti lawan.
“Biarlah kita berkempen mengikut tatasusila orang timur. Kempen melalui poster, media sosial, bertemu mata dengan pengundi dan menerangkan apakah yang mahu kita sumbangkan kepada masa depan pengundi.
“Bagi saya, kestabilan, kemakmuran dan keharmonian bagi ekonomi, pengundi serta masyarakat Pulai keseluruhannya adalah agenda utama untuk PRU15,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya mempunyai misi besar untuk melihat Parlimen Pulai kembali menjadi lokasi limpahan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan perpaduan masyarakat.
“Saya mahu segala proses yang dilihat terhenti sejak lebih empat tahun lalu, kembali bersemarak selepas UMNO dan BN diberi peluang semula untuk menerajui politik perkhidmatan di Pulai nanti. Itulah janji saya kepada seluruh rakyat Pulai,” tegasnya.
Penggerak Daily