JOHOR BAHRU: Pas Johor menyambut baik pendirian dibuat parti itu di peringkat pusat yang bertegas menolak gabungan Khemah Besar sebaliknya akan terus memperjuang konsep Penyatuan Ummah.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, usaha ke arah Penyatuan Ummah itu juga selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mahu diterapkan pihaknya.
Menurut beliau, hal itu kerana perkara tersebut penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara yang berbilang kaum dan latar belakang ini.
“Pas berdiri teguh di atas prinsip perjuangan demi melihat Islam dipelihara sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan persekutuan. Melalui pendekatan BPMS, Pas akan terus berusaha dan menyeru ke arah Penyatuan Ummah yang menyeluruh.
“Pas tidak berputus asa untuk terus mengajak rakan-rakan parti Melayu Islam dan Bumiputera seperti UMNO, Bersatu, juga parti Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Abdullah lagi, parti itu juga tidak akan meminggirkan rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana Penyatuan Ummah yang menyeluruh adalah melibatkan semua pihak menghormati dan bertoleransi, menjunjung perlembagaan negara dan menghormati ‘status quo’.
“Pas menolak khemah besar kerana kita tidak lupa pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara.
“Sehubungan itu, Pas Johor teguh bersama ketetapan Pas Pusat menolak idea khemah besar dan memberi fokus kepada Penyatuan Ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya.
Penggerak Daily