JOHOR BAHRU: Pemimpin kanan PKR perlu berani meninggalkan kubu kuat masing-masing dan bertanding di negeri kelahiran masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, strategi itu penting bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, keberanian ditunjukkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggalkan kubu kuatnya di Parlimen Kubang Kerian pada tahun 2008 dan pulang bertanding di Parlimen Pulai pada 2013.
“Pemimpin utama seperti Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu berani ambil risiko untuk bertanding di negeri asalnya, Terengganu. Ini kerana PKR pernah menang di Parlimen Kemaman pada PRU 1999.
“Selain itu, Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad juga perlu menyahut cabaran sama dan pulang ke negeri asalnya Kelantan dengan sandaran bahawa pada tahun 1999 tiga kerusi Parlimen di Kelantan iaitu Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah dimenangi oleh PKR.
“Malahan Nik Nazmi juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan. Kesedaran ini penting supaya PKR dapat merampas kembali semua kerusi Parlimen yang tewas dalam PRU-15 lalu,” katanya.
Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, antara strategi lain termasuklah menerusi calon berpotensi seperti bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, beliau perlu mengetuai gerakan untuk menawan balik kerusi-kerusi Parlimen yang PKR telah kalah sebelum ini.
“Jika Nurul Izzah yang mempunyai watak kepimpinan seperti Benazir Bhutto dan Megawati Sukarnoputeri berjaya dalam misinya, maka beliau mempunyai karektor sebagai pemimpin masa depan PKR yang amat diperlukan.
“PKR kena sedar realiti ‘real politic’ bahawa ketika ini Anwar menjadi ketua Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Kerajaan Perpaduan dengan hanya memiliki 31 kerusi Parlimen.
“Jika PKR tidak bersedia dengan strategi ampuh untuk memenangi PRU-16, ada kemungkinan kerusi PKR akan hilang 50 peratus dan PKR mungkin hanya memiliki sekitar 15 kerusi Parlimen, mungkin termasuk Parlimen Tambun.
“Jika senario itu benar-benar berlaku ketika Anwar masih lagi sihat, bersemangat tinggi serta mempunyai perancangan dan komitmen rapi untuk negara, tetapi hanya ada kira-kira 15 kerusi Parlimen sahaja, adakah parti politik lain sudi terus memilih beliau menjadi Perdana Menteri bagi penggal keduanya,” soalnya.
Penggerak Daily