JOHOR BAHRU: Kesemua 26 bahagian Pemuda UMNO Johor akan membuat laporan polis berhubung kenyataan dibuat pemimpin muda Pas Selangor, Hezry Yasin yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, laporan polis itu akan mula dibuat hari ini.
Menurutnya, amalan mendoakan ketua agama dan pemerintah merupakan sebahagian rutin di semua masjid dan surau seluruh negeri Johor.
“Amalan ini bukan sekadar menjadi rutin setiap kali selepas solat Jumaat, malah selepas solat fardhu setiap waktu di masjid dan surau di seluruh negeri kerana doa adalah kunci kekuatan dan rahsia kejayaan umat Islam.
“Doa kepada ketua agama dan pemerintah menjadi kunci dan rahsia yang telah memberi kesejahteraan serta keamanan dikecapi oleh seluruh rakyat di negeri Johor selama ini. Islam juga menganjurkan setiap Muslim mendoakan sesama umat dan saudara sesama Islam, termasuklah Ulul Amri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Nor Azleen meminta individu yang hanya sesekali berkunjung ke negeri ini untuk menghormati budaya dan amalan setempat sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Yang sekali-sekala tunggu raya setahun sekali baru nak balik rumah keluarga mertua tak perlu nak tunjuk pandai. Itu pun nasib baik masih dibukakan hati nak balik beraya rumah mertua,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir pula memberitahu, laporan polis dibuat pihaknya bertujuan agar tindakan tegas dapat diambil terhadap Hezry.
“Kenyataan ini berunsur fitnah, ia seolah-olah menjatuhkan institusi diraja di negara ini. Sehubungan itu laporan polis ini dibuat kerana kami tidak mahu tindakan menunjukkan rasa tidak hormat kepada golongan diraja terus menjadi-jadi,” ujarnya.
Terdahulu, dalam hantaran Facebook Hezry yang telah dipadamkan, dia mendakwa enggan mendoakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tidak memperjuangkan agama Islam di negara ini.
Tidak lama kemudian dia memuat naik kenyataan permohonan maaf atas tindakan tersebut yang merupakan pandangan peribadinya dan bukan mewakili parti politik disertainya.
“Saya mohon maaf atas kekhilafan saya. Penulisan saya itu adalah pandangan peribadi saya sendiri. Sungguh, memang langsung tak ada niat menghina institusi beraja.
“Cuma sekadar pandangan daripada diri sendiri. Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua dan saya tidak menafikan doa untuk sesama muslim itu sangat baik,” katanya menerusi akaun Facebooknya.
Penggerak Daily