JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nafi terdapat perebutan dalaman berhubung calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebaliknya berkata, keputusan akhir akan dibuat dirinya selaku kepimpinan tertinggi parti dan gabungan tersebut.
“Tiada perebutan calon (antara Pemuda dan Wanita UMNO), (sebaliknya) yang menentukan adalah pengerusi BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di Saujana, di sini hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Tambah Ahmad Zahid, BN menyasarkan untuk memenangi PRK DUN Mahkota dengan mempertahan majoriti diperolehi penyandangnya sebelum ini iaitu Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda di DUN Nenggiri, lain padang lain belalang maka pendekatan juga harus berbeza.
“Di Nenggiri hanya ada seramai 19 pengundi Cina manakala 34 peratus pengundi DUN Mahkota adalah masyarakat Cina. Jadi DAP ada peranan, begitu juga MCA.
“Selain itu, sebanyak 8 peratus pula adalah pengundi India, jadi kita juga perlukan kerjasama MIC dan parti-parti Friends of BN,” jelasnya.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan nama calon bagi pilihan raya itu masih belum dimuktamadkan setakat ini.
“Kita dah adakan perbincangan tetapi masih belum muktamad, yang pasti ia sebelum 14 September. Kita akan tentukan calon (sama ada daripada pemuda atau wanita), kita ada strategi kita,” jelasnya lanjut.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 28 September sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota, manakala tarikh penamaan calon dan undi awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Penggerak Daily