JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor komited memastikan kemenangan kepada calon kerajaan perpaduan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong memberitahu, perkara itu disuarakan pihaknya semasa mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN) Johor di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini hari ini.
“Mesyuarat ini bagi membincangkan kerjasama kedua-dua pihak dalam menghadapi PRK DUN Mahkota.
“Delegasi PH negeri diketuai Pengerusinya, Aminolhuda Hassan. Turut hadir, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Negeri; Syed Ibrahim Syed Noh.
“Hadir sama, Setiausaha Negeri DAP, Andrew Chen Kah Eng dan juga Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi,” katanya kepada pemberita.
Isnin lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan dua mesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, masing-masing bersama kepimpinan UMNO negeri dan juga kepimpinan PH negeri.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September ini, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 14 September, manakala tarikh undi awal pada 24 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Penggerak Daily