JOHOR BAHRU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui pencabar utama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya pihak lain.
Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, hal itu kerana selain BN, PH turut mempunyai sokongan akar umbi yang kuat berbanding gabungan dan parti-parti lain.
Sehubungan itu katanya, BN perlu membuat tranformasi dengan meletakkan lebih ramai calon muka baharu untuk menarik sokongan pengundi.
“Pencabar terdekat Barisan Nasional (BN) masih lagi PH. Hal ini kerana melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu dimana mereka turut menerima sokongan pengundi.
“Namun saya yakin, BN mampu melakar kemenangan berdasarkan sentimen politik semasa yang dilihat lebih baik berbandingkan sebelum PRU14 pada tahun 2018 lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Persidangan Sayap Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini malam semalam. Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Shahrir yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut memberitahu, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam PRU akan datang kerana mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.
“Saya sudah buat keputusan untuk tidak lagi menjadi calon, sudah tiba masanya untuk calon baharu diletakkan untuk bertanding di Parlimen Johor Bahru.
“Sejumlah enam nama telah diserahkan kepada kepimpinan UMNO negeri dan telah disampaikan kepada kepimpinan pusat. Daripada jumlah tersebut dua daripada berusia bawah 40 tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrir turut memaklumkan bahawa keputusan kepimpinan untuk meletak calon yang tidak disenaraikan oleh Bahagian dalam PRU akan datang ini bukanlah satu perkara yang luar biasa.
“Itu tidak luar biasa kerana telah dibuat beberapa kali sebelum ini. Kebiasaannya sekiranya kepimpinan memilih calon yang bukan daripada senarai diberikan Bahagian, pasti ada sebab tertentu.
“Namun ia dilakukan setelah mengambil kira pelbagai aspek dan juga penerimaan ahli di peringkat akar umbi,” katanya yang percaya tindakan sedemikian tidak akan menimbulkan pergeseran dalaman di bahagian terlibat.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu terdapat kemungkinan kepimpinan parti akan mencalonkan individu yang tidak disenaraikan Bahagian dalam PRU15 akan datang.
Penggerak Daily