KULAI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pihaknya akan mengumumkan senarai nama calon-calon parti berkenaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam waktu terdekat.
“(Senarai nama calon) Segera, sesegera mungkin, kita kira ada berapa hari lagi,” katanya ringkas selepas melawat Pekan Kelapa Sawit, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang itu tiba di Restoran Jibril Corner pada pukul 4.50 petang dengan disambut seramai kira-kira 100 penyokong dan penduduk setempat.
Beliau turut meluangkan masa selama kira-kira 30 minit untuk beramah mesra dengan pengunjung restoran sebelum turut melakukan tinjauan ke lukisan mural yang popular di pekan berkenaan.
Turut hadir dalam program itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan timbalannya, Jimmy Puah Wee Tse yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu.
Sementara itu, Wee Tse pula memberitahu, program itu bukan satu kempen dijalankan PKR sebaliknya ia merupakan tentatif dalam siri jelajah dua hari Ahli Parlimen Port Dickson itu ke negeri ini.
“Datuk Seri (Anwar Ibrahim) turut dijadualkan untuk melancarkan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena PRN Johor di Hotel DoubleTree, Johor Bahru, esok,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wee Tse turut memberitahu perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang berlangsung dan kerjasama antara kedua-dua pihak itu diyakini bakal dimuktamadkan.
“PH sudah mengadakan pertemuan dengan Muda, dan kita jangka akan dapat capai keputusan untuk jalin kerjasama dalam PRN Johor ini.
“Kerjasama itu akan menyaksikan parti komponen PH (PKR, DAP dan Parti Amanah Negara) secara bersama akan menyerahkan sebahagian kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi kepada Muda.
“Pertemuan pertama diadakan bersama Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz sebelum Tahun Baharu Cina lalu.
“Kita jangka akan ada satu lagi mesyuarat untuk memuktamadkan kerjasama berkenaan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan berhubung tarikh PRN Johor pada 9 Februari ini,” jelasnya.
Sementara itu, apabila ditanya sama ada Wee Tse akan kembali dicalonkan dalam PRN Johor ini, beliau hanya memberitahu sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan diputuskan kepimpinan peringkat pusat.
Penggerak Daily