JOHOR BAHRU: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tangani isu tuntutan dibuat negeri-negeri dalam Malaysia dengan bijak sekiranya mahu kekal mentadbir negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tuntutan itu kebanyakannya melibatkan hasil kutipan cukai yang dipungut kerajaan Persekutuan.
“Keberanian kerajaan negeri bersuara menuntut hak mereka berpunca antara lainnya kerana kerajaan Persekutuan sekarang ini dilihat lemah dan mudah rapuh seperti pokok tiada teras atau manusia tiada tulang belakang.
“Perdana Menteri yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) hanya ada 84 Ahli Parlimen. Anwar Ibrahim terpaksa mengharapkan sokongan dari UMNO GPS dari Sarawak dan GRS dari Sabah.
“Dalam keadaan punca kuasa yang lemah, maka itulah terjadi cabaran demi cabaran dari Sabah dan Sarawak serta dari negeri-negeri di Semenanjung terhadap kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, kerajaan Persekutuan boleh ‘tumbang’ sekiranya situasi berkenaan tidak ditangani dengan bijak oleh kepimpinan sedia ada.
“Jika empayar besar Ottoman di Timur Tengah boleh pecah dan runtuh, empayar kecil Melaka, Mataram dan Johor-Riau pun boleh hilang dan tenggelam dalam sejarah maka kewujudan Persekutuan Malaysia boleh menerima nasib sama jika tidak ditangani dengan bijaksana mulai sekarang.
“Ujian ini lebih besar daripada isu 3R atau isu penyelarasan subsidi diesel bersasar yang bermula semalam.
“Antara negeri yang telah menyuarakan tuntutan sedemikian termasuklah Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan terkini Johor menerusi titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail,” jelasnya lanjut.
Kelmarin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah mencadangkan rakyat negeri ini mewujudkan parti politik negeri bagi menjaga kepentingan mereka tanpa perlu ‘mengemis’ peruntukan daripada kerajaan Pusat.
Penggerak Daily