ISKANDAR PUTERI: Parti Sosialis Malaysia (PSM) komited untuk mengubah persepsi negatif masyarakat negara ini terhadap perjuangan parti berkenaan yang membawa haluan kiri berbanding parti politik lain.
Setiausaha Agungnya, A. Sivarajan memberitahu, banyak perubahan sudah dapat dilihat dalam landskap politik semasa termasuklah penerimaan golongan muda terhadap parti berkenaan.
“Politik haluan kiri adalah sesuatu yang negatif adalah persepsi yang dilihat oleh ramai sebelum ini, namun sejak PSM wujud bermula tahun 1998, kami komited untuk menghakis pandangan tersebut.
“Sepanjang tempoh itu, banyak perubahan telah berlaku kerana rakyat negara ini semakin bijak. Kini mereka faham bahawa politik haluan kiri adalah politik anti kapitalis, semakin ramai telah menyertai kami termasuk masyarakat Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas PSM memperkenalkan calon tunggal mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, di Kangkar Pulai, malam semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S. Arulchelvam pula memberitahu, sokongan yang diterimanya parti itu khususnya melibatkan generasi muda adalah kerana mereka sudah bosan dengan politik haluan kanan.
“Rakyat sekarang sudah berubah, akibat berasa bosan dengan politik semasa kini ramai rakyat sudah hilang keyakinan dengan gerakan politik kanan yang dikuasai elitis, kapitalis dan tauke-tauke besar.
“Sepanjang tempoh ini, sejarah negara ini telah menyaksikan golongan kiri turut memberi sumbangan yang besar dalam kemakmuran negara, jadi mungkin tanggapan negatif perlu dibetulkan.
“PSM mempunyai sokongan akar umbi yang kuat khususnya melibatkan golongan pekerja seperti petani, peladang, kontraktor, pertubuhan kerja dan lain-lain yang mana majoriti mereka adalah golongan marhaen,” jelasnya.
Dalam majlis berkenaan, PSM memperkenalkan calon DUN Kota Iskandar iaitu seorang penggiat seni berusia 46 tahun, Arangkannal Rajoo.
Penggerak Daily