JOHOR BAHRU: Kepimpinan telus dengan rekod perkhidmatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersih khususnya di peringkat pusat akan dapat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat negeri ini khususnya masih mengingati jasa beliau yang juga merupakan Pengerusi PN.
Katanya, perkara itu dapat dikuasai dalam sesi pertemuan yang diadakan pihaknya dengan rakyat negeri ini.
“Apabila kita pergi ke mana-mana dalam Johor, orang masih mengingati Tan Sri Muhyiddin dan berasa yakin dengan kepimpinan beliau, ini termasuklah sumbangannya sebagai Menteri Besar Johor dan sebagai Perdana Menteri.
“Beliau merupakan antara Menteri Besar Johor paling berjaya dalam sejarah Johor moden dengan rekod pentadbiran yang bersih, rakyat juga akan membandingkan legasi beliau sebagai Menteri Besar Johor dengan rekod pemimpin parti lain yang rasuah.
“Ini antara aspek yang akan dilihat oleh pengundi di negeri ini, selain itu beliau juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut menjadi satu kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Saifuddin turut berkata, pengundi sedar kejatuhan Muhyiddin bukan kerana kegagalan dalam mentadbir kerajaan sebaliknya adalah kerana permainan politik pihak berkepentingan.
“Orang ramai faham keadaan ini, kerana pengundi sudah cerdik dan mereka faham dengan apa perkara yang telah berlaku,” ujarnya.
Penggerak Daily