JOHOR BAHRU: Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah menyerah sepenuh kepercayaan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) pusat berhubung insiden yang berlaku dalam pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru, semalam.
Mohd. Hairi Mad Shah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memberitahu, pihaknya berlapang dada dan akan menerima sebarang keputusan dibuat jawatankuasa berkenaan.
Jelas beliau, bantahan dibuat bertujuan memastikan tiada sebarang salah laku dimainkan mana-mana pihak, bukan sahaja dalam pemilihan semalam malahan juga untuk masa akan datang.
“Saya akur sekiranya kalah, tetapi saya mengambil keputusan untuk membuat bantahan bukan disebabkan itu sebaliknya untuk memastikan proses pemilihan berjalan dengan telus. Menang atau kalah semua pihak perlu terima.
“Jadi tindakan diambil bertujuan untuk memastikan proses peremajaan UMNO khususnya di bahagian Johor Bahru berlaku bagi meneruskan kesinambungan legasi Tan Sri Shahrir Abdul Samad, sebelum ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Mohd. Hairi memberitahu, semasa pendaftaran perwakilan, seramai 523 perwakilan mendaftar sebelum dua lagi perwakilan membuat pendaftaran lewat menjadikan jumlah keseluruhan perwakilan seramai 525 bagi proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru, semalam.
“Selepas kiraan dibuat, keputusan Naib Ketua Bahagian dimenangi dengan jumlah 585 undi, manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi dengan jumlah 574 undi, serta jawatan Ketua Bahagian pula dimenangi dengan jumlah 591 undi.
“Jelas jumlah undi itu melebihi daripada jumlah perwakilan berdaftar iaitu seramai 525 pada awalnya, jadi bantahan dibuat bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam proses pemilihan di bahagian ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd. Hairi menegaskan pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada JPU pusat dan bersedia agar proses pemilihan dijalankan semula secara telus dan seimbang buat kesemua pihak yang bertanding.
“Namun buat waktu ini, Tan Sri Shahrir akan mengambil tanggungjawab selaku ‘care taker’ Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru ini, sehingga pemilihan baharu dijalankan semula.
“Ini kerana pengumuman Pengerusi Tetap semalam adalah tiada mana-mana pihak yang menang atau kalah, semalam, sebaliknya prosesnya ditangguh dan digantung,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily