JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sekali lagi menegaskan beliau tidak akan bertanding bukan sahaja dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi juga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.
Shahrir berkata, antara sebab keputusan itu dibuat termasuklah kerana beliau sedang berdepan pendakwaan dalam mahkamah selain memang berhajat memberi peluang kepada muka baharu.
“Sungguhpun saya tahu pendakwaan terhadap saya adalah keputusan politik dan pendakwaan selektif tapi saya tidak mahu berlindung disebalik kedudukan politik.
“Saya pun bukan macam Datuk Mas Ermieyati Samsudin atau Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melompat parti untuk menyelamatkan diri daripada pendakwaan.
“Jawatan dalam parti adalah bersikap sukarela dan pilihan ahli-ahli tapi jawatan wakil rakyat adalah dalam institusi politik tertinggi negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah veteran UMNO itu lagi, adalah tidak wajar buat dirinya menjadi calon dan mewakili parti dalam keadaan menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
“Ada yang kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan jenayah pecah amanah tapi dia macam beria-ria nak bertanding di PRN Johor, jawab saya masing-masing kita ada prinsip tersendiri.
“Kalau didakwa semasa memegang jawatan wakil rakyat, saya akan pegang jawatan itu sehingga habis tempoh dewan dan tidak akan bertanding semula.
“Kalau letak jawatan semata-mata kerana didakwa, habis pula kelayakan selama lima tahun. Mudahkan kalau jelas prinsip yang dipegang,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dilaporkan berkata presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar dijangka bakal turun bertanding dalam PRN Johor akan datang.
Penggerak Daily