ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan situasi politik yang berlaku di Melaka boleh terjadi di mana-mana negeri khususnya yang mempunyai majoriti tipis, termasuklah di Johor.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, namun begitu setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang desas desus berhubung kemungkinan tersebut.
“(Situasi di Melaka) Ini boleh berlaku kepada mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis termasuk Johor.
“Saya tidak menolak atau tidak mendakwa bahawa keadaan itu tidak boleh berlaku di Johor kerana ianya juga boleh berlaku pada Johor atau pada mana-mana negeri.
“(Namun) Setakat ini tiada cerita yang boleh membawa Johor kepada keadaan demikian,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Modul Jauhar serta Majlis Perasmian Jauhar Child Care (JCC) di Kota Iskandar, di sini semalam.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.
Ab. Rauf memaklumkan keputusan tersebut dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam sesi sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
“Sehubungan dengan itu, Yang Dipertua Negeri telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka ke-14,” katanya seperti yang dilaporkan.
Sementara itu, Hasni bagaimanapun turut memberitahu, sekiranya Dewan Negeri Melaka telah membuat keputusan untuk membubarkan DUN, keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri akan dilakukan atau tidak bergantung kepada kerajaan pusat.
“Sekiranya Dewan Negeri buat keputusan pembubaran, ianya terpulang kepada kerajaan pusat sama ada bersetuju atau tidak Pilihan Raya diadakan.
“Ini kerana selepas tiga tahun kerajaan yang ada tidak perlu diadakan Pilihan Raya, jadi biar atas sebab apa pun terpulang pada kerajaan pusat hendak adakan Pilihan Raya atau sebaliknya,” ujarnya.
Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Penggerak Daily