JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan beliau tiada sebarang agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Presiden PKR.
Sebaliknya, gesaan agar kerajaan memberi penjelasan berhubung kejatuhan nilai matawang ringgit yang dibuat beliau atas kapasiti wakil rakyat dalam usaha membela masyarakat negeri ini.
“Saya tidak akan berasa takut untuk terus mengkritik Kerajaan Perpaduan walaupun merupakan seorang wakil rakyat kerajaan, ini kerana saya perlu bersikap jujur dalam membuat teguran agar sebarang kesilapan dapat diperbetulkan.
“Saya juga tiada sebarang kepentingan atau agenda untuk menjatuhkan beliau, tiada retorik kerana saya tegur untuk kebaikan kerajaan ini. Perdana Menteri perlu beri penjelasan di Parlimen apakah langkah-langkah diambil kerajaan bagi mengatasi kejatuhan ringgit semasa.
“Pada masa sama saya juga tidak takut untuk beri pujian, kredit serta mengiktiraf Perdana Menteri dan kerajaan ini, saya perlu bersikap adil. Sebagai contoh kejatuhan ringgit pada tahun ini berbeza dengan kejatuhan ringgit pada 1998.
“Ketika ini kadar dasar semalaman (OPR) hanya 3 peratus manakala inflasi pula 1.5 peratus, berbeza berbanding kadar OPR pada 1998 iaitu sebanyak 10 peratus dan inflasi 5.3 peratus,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Chap Goh Mei di Rumah Berhala Leng Suah Chee, Bandar Seri Alam, di sini.
Namun, Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor akui jumlah pelaburan diterima negara sejak Anwar menjadi Perdana Menteri kekal tinggi walaupun pelbagai skandal kewangan dilaporkan berupaya menggugat kepercayaan pelabur.
“Antaranya skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), projek Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan Spanco Sdn. Bhd.
“Sistem ekonomi kita dicemari dengan kes-kes seperti ini, itu merupakan antara punca kejatuhan nilai ringgit, bukan kerana mereka (pelabur asing) tidak percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengulas inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang diharap akan banyak memberi manfaat kepada ekonomi negara ekoran kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang Singapura.
“Ada pro dan kontranya berhubung kejatuhan ringgit. Positifnya perniagaan akan bertambah baik bila pelancong datang. Tetapi kita jangan terlalu mudah menerima pelaburan luar kerana masih perlu tangani isu berkenaan visa, pas masuk dan keselamatan.
“Ketika kita sedang menarik kemasukan pelabur asing khususnya daripada Singapura melalui JS-SEZ ini, kita juga perlu berhati-hati agar ekonomi negeri ini tidak dimonopoli pelabur asing, perkara itu perlu diurus dengan baik,” tambahnya.
Penggerak Daily