JOHOR BAHRU: UMNO diingatkan untuk tidak memandang ringan cabaran pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai walaupun telah menang selesa bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, hal itu kerana kerusi DUN berkenaan terletak di kawasan pantai timur negara yang merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu katanya, gabungan parti kerajaan perlu menyekat gelombang pembangkang seperti dilakukan dalam PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram.
“PN mungkin ada kelebihan di sana. Namun saya pasti pengundi di Pahang khususnya di DUN Pelangai bijak untuk memilih parti politik mana yang mampu mewakili mereka sebagai wakil rakyat.
“Jadi saya minta mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang cuba dibawa masuk ke Pelangai. Golongan itu bukannya datang bertujuan untuk berkhidmat tetapi sebaliknya memainkan pelbagai isu antaranya dakwaan negara ini sudah dikuasi DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, di sini hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd. Rusdi Ismail.
Tambah Noor Azleen, kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Pahang telah terbukti berkesan khususnya dalam membawa banyak pembangunan di kawasan setempat bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kita akan ‘all out’ kali ini. Dianggarkan seramai antara 500 sehingga 600 jentera Pemuda UMNO Johor akan ditempatkan di PDM (pusat daerah mengundi) angkat sekitar DUN berkenaan. Kita tidak boleh biarkan gelombang hijau merobek kubu kuat kita di Bentong.
“Ini kerana di DUN Pelangai, terdapat kira-kira seramai 16,000 pengundi dengan 90 peratusnya adalah Melayu dan separuhnya berada di kawasan Felda,” ujarnya.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menentang calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu dimana beliau merupakan antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada PRU-15 lalu, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Penggerak Daily