KULAI: Filem tempatan telah mencapai kutipan ‘box office’ sebanyak RM97.5 juta setakat ini, menghampiri jumlah kutipan ‘box office’ keseluruhan tahun lepas berjumlah RM98.8 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka itu direkodkan daripada tayangan 27 buah filem, termasuk Takluk: Lahad Datu yang sedang ditayangkan ketika ini.
“Kutipan ‘box office’ tahun ini telah mencapai RM97.5 juta, hampir sama dengan kutipan sepanjang tahun 2023. Ini menunjukkan kualiti filem tempatan semakin meningkat dan turut mendapat sokongan penonton.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat Malaysia untuk datang ke pawagam dan terus menyokong filem tempatan, bukan sebaliknya hanya menyokong filem antarabangsa, kerana kualiti filem kita telah meningkat,” kepada pemberita semasa menghadiri program Jom Tonton Wayang Takluk: Lahad Datu di pusat beli belah IOI Mall Kulai, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, kutipan filem tempatan tertinggi tahun ini masih milik Sheriff: Narko Integriti manakala kutipan box office tertinggi tahun lepas direkodkan Polis Evo 3.
“Dengan peningkatan kualiti filem tempatan, ini adalah waktu terbaik bagi penonton menunjukkan sokongan mereka, sebagai contoh filem Takluk: Lahad Datu, ia berdasarkan kisah benar dan memupuk semangat cintakan tanah air,” jelasnya.
Sementara itu, seramai 240 warga Parlimen Kulai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program tersebut yang turut disertai Nie Ching sendiri.
Penggerak Daily