ISKANDAR PUTERI: Persiapan kontinjen Johor bagi mengadap Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak yang akan bermula 17 Ogos ini telah mencapai tahap penuh termasuklah kekuatan mental atlet-atletnya.
Ketua Kontinjen SUKMA Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, pengurus dan jurulatih telah diminta untuk memberi tumpuan terhadap aspek itu khususnya dalam memastikan atlet dapat memberi persembahan terbaik.
Katanya, Johor mempunyai misi untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada temasya edisi lalu.
“Atlet Johor akan terlibat dalam 36 acara sukan. Bermula sekarang, kita minta pengurus dan jurulatih memastikan kekuatan mental atlet.
“Ini supaya mereka berada dalam keadaan terbaik untuk bertanding, selain itu mereka juga perlu menjaga kesihatan diri,”‘ katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Johor ke Temasya SUKMA Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.
Sementara itu Mohd. Hairi memberitahu, kerajaan negeri yakin atlet Johor mampu mencipta kejutan walaupun sukan kanu yang menjadi lubuk emas negeri ini dalam SUKMA tidak dipertandingkan tahun ini.
Menurut beliau, Johor kekal berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan pada temasya itu buat kali kedua.
“Saya yakin dengan kemampuan atlet kita mencapai sasaran 60 pingat emas seperti ditetapkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini,” jelasnya.
Dua tahun lalu, Johor mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama dalam temasya sukan yang diperkenalkan sejak 1986 itu dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.
Penggerak Daily