JOHOR BAHRU: Rancangan dokumentari yang mengisahkan perjalanan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu ‘Fearless: Rise of the Southern Tigers’ bakal ditayangkan di negara antarabangsa.
Antara negara rantau Asia yang akan menyiarkannya dokumentari berkenaan adalah Taiwan dan Hong Kong.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda gembira kerana lebih ramai pihak di Asia akan dapat melihat dokumentari berkenaan.
“Saya gembira kini lebih banyak tempat di Asia dapat menonton kisah hebat mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.
“(Dokumentari ini mengisahkan) bagaimana kami bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan kejayaan di dalam dan luar padang,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dokumentari berkenaan antara lain menceritakan visi Tunku Ismail untuk Johor dan sukan bola sepaknya khususnya bagaimana baginda membuat perancangan secara teliti untuk mengembang kelab itu sedikit demi sedikit.
Ia turut memaparkan perbincangan dalam membuat keputusan untuk kelab, para penyokong Bangsa Johor dan banyak lagi selepas kelab itu diambil alih Tunku Ismail pada 2013.
Sementara itu, Ketua Bahagian Kandungan Asia Pasifik Discovery, Inc., Lynn Ng berkata, dokumentari berkenaan kebangkitan JDT adalah antara kisah tempatan yang mengagumkan.
“Discovery sentiasa melihat kepada kisah-kisah tempatan mengagumkan yang bergema di seluruh Asia Pasifik.
“Sebagai sukan paling popular Asia Tenggara, kebangkitan Kelab Bolasepak JDT adalah kisah kejayaan yang diraikan semua, dan kami teruja untuk membawakan siri ini kepada penonton di rantau ini,” ujarnya.
Siri ini juga memaparkan temubual bersama Pengarah Teknikal, Alistair Edwards; Pengarah Sukan, Martin Prest; Ketua Jurulatih Benjamin Mora, bekas pengurus, Luciano Figueroa, jurulatih-jurulatih Akademi JDT, pemain, penyokong dan beberapa individu di JDT.
Tayangan perdana ‘Fearless: Rise of The Southern Tigers’ akan disiarkan pada pukul 9 malam, 11 September ini (waktu Malaysia) di saluran Discovery Asia di rantau Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong.
Penggerak Daily