ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu apabila muncul kelab bola sepak pertama di rantau Asia Tenggara untuk menjalin kerjasama dengan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan antarabangsa, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Perjanjian bersejarah itu diumumkan Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri Wakil UNICEF Malaysia, Dr. Rashed Mustafa Sarwar di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Tunku Ismail berkata, perjanjian itu akan membolehkan JDT memperkukuh jenama mereka di peringkat antarabangsa melalui penglibatan dalam aktiviti kemanusiaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak.
Antara aspek yang diberi tumpuan menerusi kerjasama ini adalah isu kesihatan fizikal dan mental, pendidikan, pemakanan dan keselamatan kanak-kanak.
“Kerjasama ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penjenamaan JDT di peringkat antarabangsa, tetapi juga memberi manfaat kepada Johor sebagai sebuah negeri dan Malaysia secara amnya.
“Ini kerana UNICEF merupakan satu pertubuhan yang mempunyai rangkaian dengan lebih 200 negara antarabangsa. Secara tidak langsung jenama JDT akan turut bersama mereka,” katanya.
Sementara itu, Rashed Mustafa pula memberitahu, pihaknya turut berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan JDT bagi mempromosikan aspek kemanusiaan kanak-kanak melalui sukan bola sepak.
Menurutnya sukan bukan hanya satu pertandingan yang melibatkan pingat, tetapi ia adalah platform yang baik dalam memupuk pembangunan dalam diri kanak-kanak.
“Pada peringkat ini, jalinan kerjasama ini adalah untuk tempoh setahun namun kita akan lihat untuk terus memperkembangkan lagi kerjasama ini pada masa depan.
“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada jutaan kanak-kanak, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang sihat mental dan fizikal serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada negaranya,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily