JOHOR BAHRU: Segelintir penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mendakwa kelab itu tewas menentang Buriram United dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, semalam kerana ‘gangguan’ bomoh Siam.
Sejak semalam, tular beberapa video di laman media sosial termasuk TikTok menunjukkan seorang lelaki seolah-olah melakukan upacara sebelum perlawanan penting buat kedua-dua pasukan itu bermula.
Pengguna media sosial turut mengaitkan kegagalan JDT menjaring gol sepanjang 90 minit perlawanan, selain dua jaringan JDT masing-masing pada minit pertama dan minit terakhir dibatalkan pengadil.
Antara komen pengguna media sosial termasuk ‘patutlah JDT kalah, diorang guna khidmat bomoh Siam’; ‘sepatutnya tak dibenarkan buat macam ni’ dan ‘bomoh tanam barang di padang stadium’.
Walaubagaimanapun, ada segelintir yang lebih terbuka dengan memberikan komen ‘kalau betul bomoh tu terer, dah lama Thailand menang World Cup’ dan ‘tengok mandrem dia boleh bawak pergi Arab tak’.
Perlawanan semalam menyaksikan skuad Harimau Selatan tersingkir daripada saingan ACLE musim ini menerusi jaringan tunggal penyerang Buriram United, Suphanat Mueanta pada minit ke-58.
Penggerak Daily