ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini petang tadi.
Jaringan skuad Harimau Selatan itu disumbangkan Bergson Da Silva dan Jordi Amat manakala jaringan pasukan pelawat dihasilkan Hein Htet Aung.
Jaringan pertama Bergson dicapai seawal minit ke-13 hasil hantaran Muhamad Feroz Baharudin yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti sehingga gagal ditampan kemas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Muhamad Aqil Abdul Razak.
Bergson kemudian berjaya menggandakan jaringan empat minit kemudian menerusi percubaan dari dalam kotak penalti hasil hantaran belakang Nazmi Faiz Mansor.
Penyerang dari Brazil itu berpeluang mendapatkan jaringan hatrik pada minit ke-23, namun percubaannya terkena tiang.
Skuad Hobin Jang Hobin berhasil mendapatkan jaringan pertama mereka pada minit ke-28 selepas Htet Aung berjaya menyempurnakan peluang terhidang selepas percubaan Takumi Sasaki diselamatkan pertahanan tuan rumah menjadikan kedudukan 2-1.
Separuh masa kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari jaringan tambahan dengan percubaan demi percubaan dibuat JDT dan NSFC.
JDT akhirnya berjaya memperoleh gol ketiga selepas tandukan Jordi Amat hasil daripada sepakan penjuru melepasi jangkauan Muhamad Aqil menjadikan kedudukan 3-1.
Kedudukan itu kekal sehingga masa penamat.
Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyampaikan trofi perlawanan Sumbangsih 2024-2025 kepada JDT.
JDT muncul juara Piala Sumbangsih dengan kemenangan 3-0 selepas diberikan kemenangan ‘walkover’ selepas Selangor FC menarik diri daripada menghadiri perlawanan pembukaan liga yang dijadual berlangsung pada 10 Mei lalu.
Penggerak Daily