JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri merancang untuk membuka semula Litar Pasir Gudang yang telah ditutup sejak sembilan tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, perkara itu akan dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Menurutnya, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap baginda berhubung perkara itu selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
“Selepas Tunku Mahkota Ismail berkenan melancarkan JDT Racing Team, terdapat keperluan untuk negeri ini mempunyai satu litar lumba bagi membolehkan latihan dibuat.
“Ini secara tidak langsung turut berupaya merancakkan lagi sukan permotoran di negeri ini, walaubagaimanapun pembukaan semula Litar Pasir Gudang itu dijangka akan melibatkan kos tinggi.
“Sehubungan itu, saya bersama Menteri Besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor bagi membincangkan tentang perkara ini,” katanya semasa ditemui pada Majlis Sumbangan Kotak Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan Penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah Dewan Undangan Negeri Larkin (DUN), di sini.
Oktober lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melebarkan penglibatan sukan dengan menceburi sukan permotoran bersama pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin yang akan bersaing pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi musim 2024.
Litar Pasir Gudang yang dibina pada tahun 1986 telah ditutup sejak 2016.
Sementara itu, dalam program tersebut, YSIJ telah menyumbangkan sebanyak 650 kotak makanan kepada orang ramai sempena Ramadan, manakala pejabat DUN Larkin pula menyumbangkan 200 kelengkapan sekolah kepada murid dan pelajar.
Penggerak Daily