ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bercadang untuk mengumumkan cuti peristiwa pada 1 Disember sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia pada 30 November ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pengumuman itu dibuat sebagai meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjuarai piala berprestij itu pada ulangtahun ke 100 piala berkenaan.
“Sebenarnya perkara ini saya nak umumkan esok, tetapi kerana saya teruja dengan kemenangan JDT semalam, saya umumkan hari ini.
“Sekiranya JDT muncul juara Piala Malaysia kelak, kita akan mohon untuk diberi cuti peristiwa sebagai meraikan kejayaan skuad itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Semalam, JDT mengesahkan diri untuk layak ke perlawanan final Piala Malaysia setelah menundukkan Terengganu 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
“Tahniah diucapkan kepada JDT kerana walaupun mereka bermain dengan 10 pemain, mereka masih dapat menundukkan Terengganu dengan keputusan cemerlang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hasni berharap JDT akan menurunkan barisan pemain terbaik mereka untuk menjulang piala berkenaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 30 November nanti.
Dua gol JDT dijaringkan oleh Bergson Da Silva manakala satu lagi gol dihasilkan Gonzalo Cabrera.
JDT bakal bertemu KL City FC di perlawanan akhir Piala Malaysia selepas pasukan itu menundukkan Melaka FC menerusi penentuan sepakan penalti, semalam.
Penggerak Daily