JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melancarkan logo ‘Rise Up Gold Junior 2023’ dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis pelbagai bidang sukan pada masa depan.
Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam satu kenyataan memberitahu, majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.
MSNJ memberitahu, pelancaran logo baharu itu sekaligus merupakan penjenamaan semula kejohanan Sirkit Remaja Johor yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019.
“Nama ini juga lebih beridentitikan MSNJ yang menggunakan slogan ‘rise up’ pada program-program dianjurkan.
“Sirkit Remaja Johor yang kini dikenali sebagai Rise Up Gold Junior merupakan platform pertandingan bagi atlet-atlet muda program pembangunan Gold Johor.
“Sebanyak 3 siri kejohanan akan dianjurkan setahun melibatkan sebanyak enam jenis sukan iaitu pencak silat, wushu, petanque, kanu, judo dan memanah,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, MSNJ mensasar untuk mendapatkan sebanyak 1,300 penyertaan peserta bagi setiap siri kejohanan yang dianjurkan.
“Program pembangunan peringkat akar umbi ini amat penting untuk menjamin kelangsungan budaya sukan di Negeri Johor.
“Program Rise Up Gold Junior ini juga adalah salah satu inisiatif dalam mencapai hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menjadikan Johor sebagai kuasa besar sukan menjelang tahun 2030.
“Program ini juga mampu menyuntik semangat atlet-atlet muda untuk memasang impian dan memacu kemajuan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily