JOHOR BAHRU: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa ‘pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermain ala samseng, macam kasta kayangan’ adalah keterlaluan dan tidak profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin tertinggi peringkat negeri.
Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya dan ia perlu dilihat secara menyeluruh bagaimana ianya berlaku.
“Kenyataan pasukan JDT nampak kerek dan gedebe amat keterlaluan kerana setiap pasukan mempunyai maruah, termasuklah JDT dan juga Kedah.
“Kalah dan menang merupakan adat perlawanan dan sebagai penyokong Harimau Selatan, kenyataan itu disifatkan sebagai tiada semangat kesukanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai itu lagi, kenyataan Muhammad Sanusi itu boleh menyinggung perasaan rakyat negeri ini.
“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” ujarnya mengulas kenyataan dibuat Muhammad Sanusi yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyifatkan JDT beraksi ala samseng ketika menentang Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.
Beliau dilaporkan berkata, skuad Harimau Selatan langsung tidak menghormati tuan rumah biar pun bertandang ke tempat orang.
“Saya dapat satu kesimpulan iaitu JDT ini dia main ala ‘samseng’ sikit’, macam kasta kayangan. Tengoklah semalam ada satu insiden yang hampir berlaku pergaduhan di mana mereka datang kepada jurulatih serta pemain kita, dan buat-buat ‘cengei’ (Bengis)
“Dia datang stadium kita, kampung kita tetapi dia tak hormat langsung kita. Kena ingat, orang Kedah ini buat tenggala (bajak) bendang dan memukul padi di bendang,” katanya.
Tambahnya, karakter ditunjukkan JDT dirasakan tidak bagus untuk diterapkan dalam sukan.
“Dia nampak kerek, nampak ‘gedebe’. Mungkin kerana pasukan dia kaya atau gaji mahal sedangkan kita tak ada duit. Tak bolehlah buat macam pasukan lain itu belasahan.
Walaupun mereka pandai main, kita pun tidaklah bodoh sangat malah hampir menjaringkan dua gol semalam yang cuma terhalang oleh tiang dan palang.
“Kita pun bukan ‘lekeh’ sangat malah mampu memberikan tentangan sengit,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily