ISKANDAR PUTERI: Kerajaan diharap dapat menyokong generasi pelapis pemain golf tempatan untuk lebih berjaya sebagai pemain bertaraf profesional pada masa depan.
Harapan itu disuarakan pemain golf profesional Malaysia, Edven Ying Hock Hong, 22, yang baharu dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Antarabangsa Johor Golf Expo (JGE) 2024 Kategori Profesional di Senibong Golf Club, di sini malam tadi.
Menurut pemuda kelahiran Pahang itu, Malaysia mempunyai banyak pemain golf berpotensi namun bakat mereka gagal dibawa ke tahap lebih tinggi kerana kekurangan sokongan.
“Sukan golf ini tidak seperti bola sepak atau badminton yang banyak mendapat tumpuan dan sokongan. Namun jika digilap dengan betul pemain tempatan juga mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, saya berharap sukan golf akan turut mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dan juga swasta agar ia dapat dibangunkan ke potensi sebenarnya,” katanya yang telah bermain golf sejak berusia 6 tahun.
Tambah Hock Hong, dia memilih untuk terlibat aktif dalam sukan itu kerana sukakan cabaran yang unik kepada golf iaitu pengalaman dan cabaran berbeza di setiap kelab golf.
“Perbezaan golf dengan sukan lain adalah pengalaman dan berbeza di lokasi berlainan kerana kedudukan lubang dan bentuk muka bumi yang berlainan antara satu sama lain.
“Dalam situasi seperti itu, kita sebenarnya bersaing dengan diri sendiri dan itu cabarannya, jika kita dapat lakukan yang terbaik dalam setiap pukulan, maka kita akan beroleh kejayaan,” jelasnya yang akan mengikuti kejohanan golf di Thailand akhir bulan ini.
JGE 2024 mengumpulkan seramai lebih 1,000 peserta dalam pelbagai kategori pertandingan golf termasuklah Pro-Am Antarabangsa, Kejohanan Remaja Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kejohanan Wanita dan aktiviti lain seperti Foot Golf dan Hari Keluarga Fairway.
Sementara itu, Juara Kejohanan Antarabangsa JGE 2024 Kategori Amatur, Bae Eun Kyung, 16, pula memberitahu, Malaysia khususnya Johor mempunyai beberapa kelab golf bertaraf antarabangsa, antaranya Senibong Golf Club.
“Pemain golf di negara ini bertuah kerana terdapat banyak kelab golf yang berkualiti dengan keadaan padang yang dijaga dengan baik. Infrastruktur seperti ini akan membantu meningkatkan lagi kemahiran dan kualiti seseorang pemain golf,” ujarnya yang berasal dari Korea Selatan.
Penggerak Daily