ISKANDAR PUTERI: Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) komited untuk menyelesaikan hutang tertunggak sebanyak RM133,000 dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tahun depan.
Presidennya, Pandak Ahmad berkata, komitmen itu dibuat bagi memastikan sukan berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.
Menurut beliau, pihaknya akan memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan perkara tersebut selepas aktiviti sukan kembali dibenarkan dalam fasa terkini ketika ini.
“Berhubung hutang berkenaan, kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan dan nasihat beliau berkenaan isu tunggakan hutang tersebut.
“Kita akan cuba selesaikan di peringkat dalaman terlebih dahulu sebelum memikirkan kaedah terbuka lain termasuklah dengan melakukan ‘crowd funding’ untuk membayar semula hutang itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Kejohanan Bola Baling Kebangsaan Bawah 20 Tahun di Stadium Tertutup EduCity, di sini semalam.
Terdahulu, MAHF berhutang RM133,000 dengan MOM susulan tunggakan meliputi perbelanjaan dan kos penyertaan atlet bola baling pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Tambah Pandak, hutang berkenaan perlu diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pihaknya memberikan tumpuan kepada pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi selain penyediaan pasukan kebangsaan.
“Kita akan meneruskan rundingan dengan MOM untuk menyelesaikan kemelut ini dan berharap mereka dapat menerima cadangan-cadangan kita khususnya memberikan kami pembayaran paling minima.
“Ini bagi membolehkan kami terus menghantar pasukan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa bagi membolehkannya sukan ini terus berkembang dalam negara,” jelasnya yang memegang jawatan itu sejak Februari 2020.
Sementara itu, dalam kejohanan tersebut, pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul juara dengan pasukan Pahang naib juara bagi kategori lelaki manakala kategori perempuan menyaksikan Johor muncul juara setelah menundukkan Terengganu dalam perlawanan akhir.
Penggerak Daily