JOHOR BAHRU: Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom sedia galas tanggungjawab sebagai sandaran utama sukan itu selepas Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan tidak bertanding dalam temasya Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Muhammad Shah Firdaus berkata, kesediaan itu telah dibuktikan apabila menjadi ketua pasukan dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti sukan Komanwel dan sukan Asia.
Bagaimanapun, Muhammad Shah Firdaus memberitahu ‘The Pocket Rocketman’ akan terus menjadi mentor buat dirinya untuk memenangi pingat emas Olimpik.
“Saya sedia pikul tanggungjawab itu sejak menyertai pasukan elit ini lagi. Saya juga sudah buktikan ketika mengetuai pasukan dalam sukan Komanwel dan Asia, kami berjaya dapat keputusan baik.
“Jadi saya rasa tiada masalah, saya tahu lambat laun memang akan pikul tanggungjawab ini. Jadi saya harap generasi selepas saya juga bersedia kerana mungkin lain kali waktu mereka pula,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pusat beli-belah di sini, baru-baru ini.
Atlet kelahiran Muar yang berusia 29 tahun itu memberitahu, dia juga sudah mempersiapkan diri bagi berdepan harapan menggunung rakyat Malaysia yang mahupun pingat emas dalam sukan Olimpik.
“‘Expectation’ itu memang tinggi, Datuk (Azizulhasni) sudah letak sukan berbasikal ini pada tahap tinggi, jadi saya juga kena bersedia mental dan fizikal.
“Walaupun Olimpik 2028 empat tahun lagi namun latihan dan persediaan telah dimulakan. Mungkin orang lihat olimpik itu empat tahun sekali tetapi persediaannya adalah lebih daripada empat tahun.
“Saya sendiri sudah kembali berlatih sejak minggu lalu, beberapa minggu selepas Olimpik 2024 berakhir. Alhamdulillah kecederaan akibat temasya itu sudah semakin pulih,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus turut berharap pihak berwajib dapat meneruskan usaha mencungkil bakat-bakat pelumba basikal trek baharu pada masa depan.
“Johor sudah memiliki velodrom bertaraf antarabangsa, jadi saya harap fasiliti itu dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal trek yang boleh mewakili negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.
Ahad lalu, media tempatan melaporkan Azizulhasni memaklumkan beliau tidak melihat dirinya akan menyertai kontinjen negara ke Olimpik 2028 sebagai seorang atlet sebaliknya sedia membantu pelumba muda.
“Saya tidak nampak akan ke Olimpik 2028 sebagai atlet. Mungkin saya boleh cuba membantu Shah Firdaus dan adiknya. Apa sahaja yang saya boleh untuk tolong mereka. Tetapi Olimpik 2028 sudah pasti tidak untuk saya,” katanya.
Penggerak Daily