ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan agar Johor menjadi tuan rumah bagi acara sukan bola sepak dalam temasya Sukan SEA 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah sehubungan itu berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Katanya, perkenan baginda diperoleh selepas mengadap baginda, Khamis lalu.
“Walaubagaimanapun, lokasi venue akan dimaklumkan kemudian selepas perbincangan diadakan antara Sekretariat Sukan SEA 2027, KBS serta Majlis Sukan Negeri Johor.
“Begitu juga soal kos bagi menganjurkan acara sukan berkenaan. Apabila keputusan diperoleh kita akan maklumkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Hairi memaklumkan pihaknya mencadangkan beberapa stadium sebagai lokasi acara sukan berkenaan termasuklah Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Beliau dilaporkan berkata, empat lokasi yang dikenal pasti termasuklah SSI; Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon pula memberitahu, sampel makanan telah diambil melibatkan kes keracunan makanan 13 murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar, 27 November lalu.
Menurut beliau, beberapa sampel makanan tengah hari yang dijual di kantin sekolah itu telah diambil termasuklah bubur.
“Keputusan sampel makanan dijangka akan diperoleh dalam minggu ini,” ujarnya sambil memberitahu semua murid terlibat berada dalam keadaan stabil.
Media sebelum ini melaporkan 13 murid sekolah itu yang terdiri daripada murid darjah satu hingga darjah enam telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik, hospital dan hospital swasta.
Penggerak Daily