JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sedang bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memproses pelan bangunan.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, kerjasama yang baharu dimulakan bulan lalu itu adalah bagi mempercepatkan proses mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Menurutnya, JBPM Johor merupakan perintis bagi usaha itu di sebelum ia diluaskan ke negeri-negeri lain.
“JBPM Johor sedang bekerjasama dengan MPC bagi menggunakan teknologi AI untuk memproses pelan bangunan baharu. Ketika ini kita sedang memasukkan data-data yang diperlukan ke dalam teknologi tersebut.
“Apabila berhasil kelak, kita jangka teknologi tersebut dapat digunakan untuk mempercepat proses mendapatkan CCC pihak bomba yang ketika ini memerlukan tempoh 14 hari untuk dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Tahunan Dan Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johor 2024 di Ibu Pejabat JBPM negeri, di sini hari ini.
Tambah Siti Rohani, sekiranya kerjasama itu berhasil, ia bukan sahaja akan memendekkan tempoh masa pemprosesan pelan tetapi juga mengurangkan tenaga kerja yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.
“Bagi pelan bangunan yang mudah dan ringkas, tempoh masa diperlukan mungkin sehari sahaja, ini membolehkan JBPM Johor memberi lebih tumpuan keanggotaan kepada keperluan perkhidmatan lain.
“Sebelum ini MPC telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi pelaksanaan sistem ‘Kulai Fast Lane’, kini mereka bekerjasama dengan kita untuk tujuan ini,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, perkara itu akan membantu jabatan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan pantas, seiring dengan pembangunan infrastruktur pesat yang sedang berlaku di Johor ketika ini.
“Usaha ini sesuai dilaksanakan kerana banyak bangunan baharu yang sedang dibina di Johor, jadi penggunaan teknologi terkini seperti AI adalah penting dalam mempercepatkan proses sedia ada,” tambahnya.
Penggerak Daily