BATU PAHAT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penglibatan seramai 1.6 juta murid dan pelajar dalam program Malaysia Techlympics, tahun ini.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, jumlah itu melibatkan penyertaan secara fizikal mahupun secara dalam talian.
Menurut beliau, penting bagi pihaknya meningkatkan jumlah penyertaan murid dan pelajar dalam program sedemikian bagi meningkatkan minat golongan muda dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“Seperti kita tahu, minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menurun. Oleh itu kita sediakan format berbeza daripada pembelajaran dalam kelas iaitu secara ‘gaming’, pertandingan dan ‘networking’.
“Kita jangka kaedah itu akan beri lebih keterujaan kepada generasi muda untuk turut serta dan berkumpul dengan rakan-rakan yang sama minat. Ini penting kerana kita mahu mencapai tahap negara maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), di sini hari ini.
Turut hadir, NC UTHM, Prof. Datuk Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Sharmila Mohamed Salleh.
Tambah Aminuddin, MOSTI komited melaksanakan inisiatif bagi memupuk minat murid, pelajar dan belia terhadap STI termasuklah melalui penganjuran program Malaysia Techlympics yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
“Antara teknologi yang berkembang pesat ketika ini adalah teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang banyak diguna
pakai dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan.
“Antara aspek ditekan dalam Malaysia Techlympics adalah seperti kecerdasan buatan, pengkodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily