JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-27 yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Februari ini menyaksikan penglibatan peserta daripada 44 buah negara antarabangsa.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin berkata, festival yang diadakan di Bukit Layang-Layang di sini itu akan melibatkan penyertaan seramai 376 peserta domestik dan antarabangsa.
Menurut beliau, tiga negara baharu turut menyertai edisi kali ini iaitu dari La Reunion, Tasmania dan Tahiti.
“Antara acara dianjurkan termasuklah persembahan layang-layang moden dan tradisional seperti wau dan layang-layang naik peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Turut diadakan pameran layang-layang pelbagai negara.
“Kita juga anggar lebih daripada 500,000 pengunjung akan hadir ke festival bertema ‘Stay Clean Enjoy Fly’ ini. Majlis perasmian akan disemak Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada pukul 8 malam, 15 Februari,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha MBPG, Abdul Malek Mohamed.
A. Rahim yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor turut memberitahu, ekoran sambutan menggalakkan, kerajaan bakal mengadakan festival layang-layang peringkat kebangsaan pada Oktober tahun ini.
“Selepas ini, festival layang-layang akan dijalankan dua kali setahun iaitu di peringkat sedunia dan peringkat kebangsaan dengan kedua-duanya dibuat pada skala besar.
“Selain itu, sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, kerajaan Perlis juga bersetuju menganjurkan festival layang-layang peringkat ASEAN pada Mei tahun ini dengan melibatkan penyertaan dari 10 negara anggota.
“Kita akan berkolaborasi dengan kerajaan Perlis melalui penganjuran Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis pada 18 Februari ini selain terlibat dengan penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Satun, Thailand pada 20 hingga 23 Februari depan,” jelasnya.
FLLSPG telah dianjurkan sejak 1995 dengan pelbagai negara mengambil bahagian termasuk Indonesia, China, Singapura, Thailand, England, Australia, Portugal dan Argentina. Festival ini turut disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya.
Penggerak Daily