JOHOR BAHRU: Pusat percutian Desaru Coast di negeri ini diiktiraf sebagai salah satu daripada 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh majalah antarabangsa, Time Magazine.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast Destination Resort, Roslina Arbak berkata, senarai yang diterbitkan pada 20 Julai itu berdasarkan maklumat dikumpulkan oleh koresponden antarabangsa bersama pakar industri dari seluruh dunia.
Jelasnya, pihaknya sangat berbesar hati kerana telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Kami berbesar hati kerana diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh syarikat penerbitan terkenal, dan kami bangga untuk mewakili Johor dan juga Malaysia.
“Ini merupakan pencapaian yang mengagumkan bagi sebuah pasukan yang baharu dua tahun beroperasi apatah lagi dalam tempoh yang mencabar untuk industri ketika ini.
“Dengan pengiktirafan ini, kami tidak sabar merai kedatangan pengunjung dari seluruh dunia apabila aktiviti pelancongan kembali dibenarkan nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, Desaru Coast merupakan satu-satunya destinasi percutian di Malaysia yang tersenarai dalam pengiktirafan itu.
“Destinasi ini dicadangkan kepada pelancong antarabangsa sebagai percutian pantai yang menawarkan perkhidmatan hotel antarabangsa serta tarikan lain seperti lapangan golf bertaraf dunia dan aktiviti pelayaran melalui Sedili Wetlands,” ujarnya.
Tambah Roslina, majalah itu juga mengetengahkan pembukaan Terminal Feri Desaru Coast yang akan menawarkan pilihan transit buat pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
“Terletak di tepi pantai sepanjang 17 kilometer, Desaru Coast juga menempatkan hotel bertaraf dunia yang ultra-mewah, termasuk One and Only Desaru Coast, Anantara Desaru Coast Resort and Villas, The Westin Desaru Coast Resort dan Hard Rock Hotel Desaru Coast.
“Desaru Coast juga mempunyai dua lapangan golf bertaraf dunia dan taman tema air terbesar di rantau ini,” jelasnya lagi.
Penggerak Daily