ISKANDAR PUTERI: Johor mahu menjadi hab pelancongan utama negara khususnya menjelang program Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan kehadiran seramai 12 juta pelancong, dua tahun lagi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya yakin perkara itu dapat dicapai jika semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri pelancongan serta masyarakat bekerjasama mempromosikan negeri ini.
“Johor terkenal dengan pelbagai perkara, makanan sedap, tempat pelancongan, taman negara gunung hingga laut tetapi pelancongan kita belum nombor satu.
“Oleh itu, sasaran kita mahu jadikan Johor sebagai pusat pelancongan paling unggul dalam negara, saya yakin boleh sebab Johor selalu mencapai tahap membanggakan seperti kemenangan dalam Final Piala FA dengan jaringan 6-1 baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majestic Johor Festival 2024 di Puteri Harbour, di sini malam semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan pusat dan negeri telah melakukan pelbagai projek naik taraf melibatkan infrastruktur pelancongan di negeri ini, termasuklah Zoo Johor.
“Zoo Johor telah dinaik taraf dengan peruntukan RM9.7 juta. Ini adalah kerja naik taraf fasa pertama dan 31 Ogos (lusa) zoo itu akan dibuka semula kepada orang ramai. Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.
“Selain itu, kita juga akan memastikan semua projek pembangunan termasuklah Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim memberitahu, Majestic Johor Festival 2024 merupakan edisi ketiga penganjurannya dengan menyasarkan kehadiran seramai 600,000 pengunjung.
“Antara tarikan utama festival ini adalah pameran eksklusif kenderaan klasik diraja, dengan ada yang berusia lebih 100 tahun. Selain itu ada juga pertunjukan bunga api dan konsert sempena Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos,” jelasnya.
Penggerak Daily