JOHOR BAHRU: Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN akan membincangkan kaedah perjalanan rentas sempadan yang lebih mudah antara negara-negara anggota bagi meningkat sektor pelancongan masing-masing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, usaha berkenaan dibuat memandangkan sektor pelancongan merupakan tonggak ekonomi penting negara-negara anggota.
Katanya, langkah sedemikian juga dapat meningkatkan kehadiran pelancong bukan sahaja global tetapi dari negara ASEAN sendiri.
“Kita perlu merangka satu dasar yang dapat meningkatkan bilangan pelancong yang datang, antaranya adalah dengan mempermudah pergerakan rentas negara-negara anggota.
“Sudah tentu kita tidak akan bertoleransi dalam isu keselamatan, tetapi saya percaya usaha ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN ke-28 di Hotel DoubleTree, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sindiket penipuan yang menggunakan pakej pelancongan sebagai modus operandi.
“Kita perlu melihat permasalahan ini dengan serius, kerana ketika ini memang ia antara masalah dihadapi pelancong termasuklah yang mahu berjuang ke negara ASEAN,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut merupakan antara agenda utama ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 yang diadakan di sini sejak 15 Januari hingga esok dengan bertemakan ‘Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow’.
ATF 2025 menghimpunkan pihak berkepentingan sektor pelancongan serantau bagi meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan mampan sektor itu di rantau ini.
Ini merupakan kali kedua Malaysia menganjurkan ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.
Penggerak Daily