JOHOR BAHRU: Negara-negara ASEAN perlu menjadikan Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTO) kali ke-61 sebagai platform mempromosikan produk pelancongan rentas negara.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan berkata, kerjasama berkenaan dilihat mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong antarabangsa termasuk dari Eropah untuk mengunjungi rantau ini.
“Kebiasaannya, pasaran negara jauh mengambil tempoh percutian antara 14 hingga 20 hari untuk melawat sesebuah negara. Melalui usaha ini kami mahu apabila mereka melawat ASEAN, mereka tidak hanya mengunjungi satu negara sebaliknya beberapa negara lain.
“Ini boleh dijayakan kerana setiap negara mempunyai produk pelancongan dan tarikan tersendiri yang unik,” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan kepada media antarabangsa mengenai sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang diadakan di Hotel DoubleTree, di sini.
Mesyuarat NTO kali ke-61 sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 yang diadakan di Hotel DoubleTree di sini dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman.
Mesyuarat tersebut dihadiri delegasi-delegasi terdiri daripada kesemua 10 negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Manoharan turut memberitahu, mesyuarat tersebut turut membincangkan strategi menarik lebih ramai pelancong ke negara ASEAN melalui produk pelancongan seperti program inap desa, pelancongan kapal pelayaran (cruise) dan pelabuhan.
ATF 2025 yang bertemakan ‘Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow’ yang berlangsung sejak semalam hingga 20 Januari depan menghimpunkan pihak berkepentingan sektor pelancongan Asia Tenggara bagi meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan mampan sektor itu di rantau ini.
Ini merupakan kali kedua Malaysia menganjurkan ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.
Penggerak Daily