Selain ‘melarikan diri’ daripada wakil media, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak ada menyebut sebarang ulasan mengenai peralihan kuasa dalam kenyataan di media sosialnya.
Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR itu hanya menyatakan dirinya mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden PH sahaja.
”Pelbagai perkara dibincangkan terkait hal ehwal semasa negara serta usaha mengembalikan mandat rakyat,” tulisnya ringkas.
Beliau juga memuat naik gambar semasa mesyuarat yang berlangsung petang tadi dengan kehadiran pimpinan parti komponen PH yang lain.
Sebelum itu, puluhan wakil media menunggu di luar Ibupejabat PKR di Tropicana dekat sini bagi mendapatkan susulan kenyataannya yang mendakwa beliau sudah mendapat mandat membentuk kerajaan baharu.
Bagaimanapun Anwar dikatakan keluar ikut pintu belakang di bangunan berkenaan bagi melarikan diri daripada diasak wakil-wakil media.
Selain itu, pemimpin pembangkang seperti Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan lain-lain enggan mengulas ketika ditemui wakil media di luar Ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Sumber: MalaysiaGazette