ISKANDAR PUTERI: Cubaan sindiket penyeludupan rokok menggunakan permainan plastik untuk mengaburi pihak berkuasa gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 21.7 juta batang rokok menerusi dua pemeriksaan berasingan, masing-masing pada 4 Mac dan 13 Mac lalu.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, kedua-dua rampasan itu dilakukan pihaknya di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini.
Menurut beliau, anggaran nilai rokok beserta duti Kastam terlibat bernilai RM18.3 juta.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan meletakkan 160 kotak berisi permainan plastik kanak-kanak di bahagian depan kontena, manakala rokok seludup pula diletakkan di bahagian belakang.
“Semasa pemeriksaan teliti dibuat, pegawai mendapati rokok-rokok seludup itu tidak diikrarkan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di JKDM Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini hari ini.
Tambah Aminul Izmeer, kedua-dua kontena yang dirampas dalam dua serbuan itu sedang dalam perjalanan ke destinasi akhir iaitu Mexico.
“Usaha mengesan pemilik barangan dagangan berkenaan sedang dilakukan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan pihaknya menumpaskan cubaan menyeludup minuman keras bernilai anggaran RM1.8 juta di kawasan sama, pada 29 Januari lalu.
“Minuman keras pelbagai jenama sebanyak 69,360 tin dan bersamaan dengan 60,996 liter itu ditemukan dalam tiga buah kontena berbeza.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengikraran mengelirukan terhadap barangan dagangan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan tidak benar yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.
Penggerak Daily