Parti untuk orang muda tidak akan kehilangan undi dari golongan dewasa, kata salah seorang penggerak Rundingan Muda Malaysia, Mutalib Uthman.
Mutalib menjelaskan, muda yang dimaksudkan tidak semestinya umur sebaliknya ia juga termasuk pemikiran, semangat, keberanian dan idealisma baharu.
Justeru, Mutalib menjelaskan apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti baharu itu akan kehilangan sokongan golongan dewasa tidak tepat.
“Muda itu tidak semestinya pada umur, muda itu bukan dalam maksud parti ini adalah baharu, kita beri satu benda yang baharu, pemikiran yang baharu, solusi-solusi baharu, polisi-polisi baharu, dasar-dasar baharu yang pentingnya ialah keberanian dan idealisma sebelum ini.
“Berbeza dengan sebelum ini, bayangkan ada orang yang muda tapi politiknya tua, ada orang yang muda masih menyokong surat sokongan, memang berpolitik stail orang lama,” katanya kepada Astro AWANI.
Menjelas lanjut, pengasas DuBook Press Sdn Bhd itu berkata beliau memilih untuk sebuah parti politik ditubuhkan berbanding gerakan orang muda kerana mahu idealisma baharu ini dapat dibahaskan di Parlimen dan seterusnya menjadi dasar.
“Kalau ada parti kita hendak masuk dalam Parlimen, kita gubal polisi, kita gubal dasar, kita perjuang benda itu, sekurang-kurangnya ada wakil di Parlimen.
“Kalau hanya gerakan, benda itu hanya sampai di peringkat bawahan sahaja dan ia tidak boleh buat keputusan.
“Untuk kesekiankalinya kita perlu boleh buat dasar yang mesra rakyat dan yang paling penting mesra orang muda,” katanya lagi.
Penubuhan sebuah parti berbilang kaum berasaskan orang muda mula diperkatakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata penubuhan parti itu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen agar golongan itu akhirnya tidak dipandang mudah lagi.
Sumber: Awani