Oleh: Ahmad Roi
Seorang saintis politik, Lord Acton pernah cakap, politik adalah seni serba mungkin. Dengan politik, semuanya tidak mustahil.
Tapi, dalam banyak-banyak kemustahilan dalam politik Malaysia, Roi pelik apabila isu lompat parti menjadi dosa paling besar dalam demokrasi.
Bukan sikit gelaran bagi mereka yang melompat parti – katak, pengkhianat, kitol dan pelbagai gelaran bernada provokasi. Itu pun gelaran dari penyokong politik kepada pihak lawan, tapi kalau lompatan itu menyebelahi parti politik yang mereka sokong, tindakan itu digelar strategik politik. Sungguh ironi!
Ironi ini dapat kita lihat apabila segelintir kumpulan mengecam Langkah Sheraton seakan lupa isu lompat paling epik dalam sejarah politik Malaysia pada 2008, ketika terdapat ura-ura hampir 20 wakil rakyat Barisan Nasional akan melompat bersama Anwar Ibrahim melangkah ke Putrajaya pada 16 September 2008.
Lebih epik, ramai percaya pada 17 September 2008, harga minyak turun.
Namun, situasi yang sama juga berlaku di kem pembangkang ketika itu di mana ada cubaan menarik wakil rakyat pembangkang untuk melompat ke kem kerajaan. Susulan itu, PKR telah keluarkan arahan – mana-mana parti yang menang pilihanraya kemudian berpaling arah akan dikenakan denda/ganti rugi sebanyak RM5 juta.
Begitulah isu lompat parti di Malaysia – kau kata aku, aku kata kau.
Sekarang, isu kecam-mengecam ahli parlimen yang lompat parti masih tidak sudah. Kalau ditanya, kenapa mereka marah-marah dengan tindakan lompat, jawapan paling klise; membunuh demokrasi!
Roi pun berfikir sejenak, betul ke tindakan lompat parti membunuh demokrasi?
Jadi, Roi pun siasat. Rupa-rupanya lompat parti ini bukan cerita baru. Dulu, pada 1976, seorang pemimpin pembangkang telah mengusulkan undang-undang anti-lompat parti dengan mengosongkan kerusi parlimen jika ahli parlimen itu keluar dari parti asal.
Alasannya, undang-undang ini penting dalam memastikan prinsip demokrasi ditegakkan. Hujahnya, ahli parlimen yang telah meraih kerusi atas tiket parti dianggap khianat dengan kehendak pengundinya.
Sekali imbas, undang-undang ini kelihatan menjunjung tinggi demokrasi. Tapi cuba kita fikir baik-baik, walaupun undang-undang anti-lompat parti kelihatan bermanfaat, tapi akhirnya undang-undang ini sendiri menyekat kebebasan untuk berorganisasi (keluar/masuk sesebuah organisasi).
Ya, parti politik bukan Yakuza sampai kena potong jari kalau mahu tarik diri. Dan, apakah Yakuza kelihatan lebih demokrasi apabila menyekat ahlinya untuk keluar?
Dalam berorganisasi, ahli parlimen juga perlu dijamin kebebasannya untuk memilih atau menentang keputusan pimpinan parti yang tidak mustahil keputusan pimpinan parti tersebut membelakangkan rakyat.
Jadi, membenarkan tindakan lompat parti itu lebih menepati semangat demokrasi berbanding undang-undang anti-lompat parti. Atas sebab ini, tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang boleh menghalang atau menyekat tindakan seseorang melompat parti atau meninggalkan parti yang diwakilinya.
Malahan, cadangan mewujudkan undang-undang anti lompat parti juga dilihat berlawanan dengan konsep demokrasi berparlimen khususnya dalam kerajaan yang menggunapakai sistem Westminister yang ada sekarang.
Tidak hanya itu, hak melompat parti ini diiktiraf dalam Perlembagaan melalui hak kebebasan untuk berpersatuan dan berhimpun yang termaktub dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Pesekutuan.
Perkara ini jelas, pada bila-bila masa setelah memenangi pilihanraya, jika calon-calon tersebut membuat keputusan atau menganggap adanya percanggahan antara pendirian, prinsip dan ideologi parti dengan pegangan mereka sendiri, mereka berhak untuk melompat parti.
Jadi, apabila yang lompat itu dikatakan khianat, tidakkah kita menafikan hak dan kebebasan mereka untuk kekal berprinsip daripada membuta tuli kepada kepimpinan yang boleh jadi betul, boleh jadi tidak.
Wajar juga bertanya kepada mereka yang mengecam membuta tuli, apakah benar marahkan ‘pengkhianat’ lompat parti atas nama demokrasi, atau lompat parti ini jadi strategik politik bila i have numbers!
PenggerakDaily