Barisan Nasional (BN) Sabah memberi amaran akan membuang wakil rakyat jika tidak menjalankan tugas dengan baik selepas dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia bukan ugutan, tetapi jaminan supaya wakil rakyat BN yang dipilih bekerja bersungguh-sungguh dan berkhidmat kepada rakyat.
Menurutnya, ada pemimpin yang apabila dipilih menjadi wakil rakyat leka dan lalai sehingga memberi imej buruk kepada parti.
“Ada wakil rakyat apabila dipilih, lupa mereka datang daripada rakyat, mereka leka, lalai dan rakyat terbiar hingga akhirnya parti jadi mangsa.
“Kita tidak mahu disebabkan seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit. Jadi mana-mana wakil rakyat yang tak ‘perform’ kita minta dia supaya berhenti,” katanya ketika ditemui selepas program bersama rakyat di Kampung Bakau di Sandakan, hari ini.
Mengulas mengenai percaturan BN meletakkan calon muda dalam PRN kali ini, Bung Moktar berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira permintaan rakyat selain kebolehan calon.
Katanya, BN menggunakan strategi dengan menampilkan gabungan kepimpinan muda dan lama dengan mengambil kira keperluan untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.
“Ada yang mengatakan anak muda mempunyai kekuatan, kebijaksanaan dalam urusan politik, tetapi anak muda saja tidak akan capai kejayaan.
“Ada anak muda gagal yang saya nampak di Dewan Rakyat, mereka boleh bercakap tapi cakap yang tiada impak untuk ekonomi, negara dan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, BN meletakkan hanya anak muda yang berkebolehan dan suaranya didengar oleh semua lapisan masyarakat di kawasan yang ditandingi.
Sumber: Harian Metro