UMNO Sabah menafikan spekulasi mengenai kemungkinan kemelut politik Perak boleh berlaku di Sabah selepas ini, kata ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau sebaliknya berkata Umno Sabah yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan ikhlas menyokongnya berikutan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri saling memahami dan bekerjasama satu sama lain.
“Apa yang berlaku di Perak itu ialah sentimen politik di sana. Di Sabah kita ada sentimen kita sendiri, di sini lain, kita sentimental.
“Kita di Sabah memahami antara satu sama lain dan sedar kita tidak boleh berpecah-belah,” katanya seperti dilapor BH.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika mengulas mengenai spekulasi pihak tertentu mengatakan apa yang terjadi di Perak mungkin berlaku di Sabah.
Bung Moktar berkata, Umno Sabah tidak akan mengkhianati rakan parti dalam GRS dan berharap parti lain dalam gabungan itu juga tidak mengkhianati Umno serta Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin dengan kepemimpinan Ketua Menteri dan Umno memang ikhlas menyokong serta tidak akan mengkhianati rakan parti lain.
“Isu di Perak tidak akan menjejaskan kedudukan kita di Sabah. Kita di sini masih kukuh,” katanya.
Spekulasi yang mengatakan kemelut politik Perak boleh berpindah ke Sabah adalah berdasarkan andaian Umno Sabah sepatutnya mendapat jawatan Ketua Menteri selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.
Ini kerana Umno memenangi lebih banyak kerusi berbanding Bersatu dan parti lain dalam GRS.
Sumber: Malaysiapost